Friday, January 4, 2008

Bantulah / Hormatilah OKU

DEFINISI OKU

Seseorang yang tidak berupaya menentukan sendiri bagi memperolehi sepenuhnya atau sebahagian daripada keperluan biasa seorang individu dan/ atau tidak dapat hidup bermasyarakat sepenuhnya disebabkan kekurangan sama ada dari segi fizikal atau mental dan sama ada ia berlaku semenjak lahir atau kemudian dari itu.


KATEGORI OKU
Terdapat 4 katogeri kurang upaya yang didaftarkan iaitu:-
  • Kurang Upaya Penglihatan - tidak boleh melihat langsung / penglihatan terhad - tidak boleh melihat dengan terang/ jelas seperti orang biasa walaupun dengan menggunakan cermin mata atau "contact lens".
  • Kurang Upaya Pendengaran - pekak termasuk pekak/ bisu
  • Kurang Upaya Akal - kecerdasan otak tidak selaras dengan usia seperti down syndrom dan lembap.
  • Kurang Upaya Anggota - kecacatan badan sama ada kehilangan atau tiada suatu anggota atau kurang upaya di mana-mana bahagian badannya. Ini termasuklah mereka yang berpenyakit polio, kudung, lumpuh separuh atau sebelah badan dan spastik
PERLUKAN BANTUAN OKU?

Sebagai langkah pertama di dalam mencapai matlamat ke arah peningkatan taraf hidup, keselesaan dan kejayaan orang kurang upaya ini, maka adalah amat penting bagi setiap individu OKU supaya segera mendaftarkan diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah yang berdekatan untuk dikenalpasti akan kehadiran mereka di dalam sesebuah kelompok masyarakat. Ini adalah kerana kemudahan dan pengesanan awal disediakan bagi mereka untuk menerima rawatan, pemulihan, pendidikan dan latihan. Ini disusuli pula dengan usaha untuk mengintegrasikan warga OKU ke dalam masyarakat di mana ia dilaksanakan melalui program-program bantuan yang telah dibentuk di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) demi menggalakkan mereka agar bersedia menghadapi cabaran keadaan sosial mereka. Oleh yang demikian warga OKU bolehlah mendaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah yang berdekatan.

Objektif

  • Memberi kesedaran di kalangan orang ramai bahawa orang kurang upaya (OKU) sebagai anggota masyarakat mempunyai hak dalam masyarakat dan tidak menganggap mereka sebagai kurang berkebolehan serta tidak berguna;
  • Meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang tanggungjawab mereka terhadap OKU dan seterusnya menggerakkan komuniti supaya meningkatkan kemudahan-kemudahan untuk OKU;
  • Mempertingkatkan kebolehan, keupayaan, kemampuan serta kemahiran golongan OKU ke arah pencapaian yang cemerlang dan sekaligus manfaatkan pembangunan negara;
  • Merapatkan lagi hubungan kerjasama di antara Kerajaan dengan pertubuhan sukarela serta sektor korporat dan komuniti di dalam usaha mewujudkan pelbagai kemudahan untuk orang kurang upaya;
  • Mendedahkan kepada orang ramai akan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan dan pertubuhan sukarela bagi OKU
Syarat-syarat yang diperlukan untuk mendaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat:-
  1. Dua keping gambar berukuran pasport;
  2. Laporan perubatan (secara percuma di hospital-hospital kerajaan)
  3. Borang PKMD (boleh didapati di mana-mana pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat);
  4. Satu salinan kad pengenalan;
  5. Satu salinan sijil kelahiran
Kelayakan
  1. Berdaftar dengan JKM;
  2. Mendapat pengesahan doktor;
  3. Bergantung kepada tahap kemampuan OKU untuk membeli dan memiliki alat tiruan;
  4. Sumbangan membeli alat tersebut jika perlu.
PERHATIAN
  • Bagi setiap golongan orang kurang upaya yang ingin menikmati insentif dan kemudahan-kemudahan yang telah disediakan sama ada oleh agensi kerajaan atau swasta. Syarat utama mereka mestilah mempunyai KAD KENAL DIRI ORANG KURANG UPAYA sebagai satu perakuan yang sah bahawa mereka adalah kurang upaya;
  • Kad Kenal Diri Orang Kurang Upaya hanya boleh dibuat di Jabatan Kebajikan Masyarakat di negeri-negeri dan daerah tempat tinggal orang kurang upaya tersebut.
MAKLUMAN

Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Kebangsaan disambut pada 3 Disember setiap tahun selaras dengan pengistiharan Hari Kebangsaan Orang Kurang Upaya oleh Resolusi Bangsa-bangsa Bersatu.

No comments: