Sunday, January 6, 2008

Cabaran Peserta Realiti OKU Musim Pertama

TV9 telah siapkan 13 episod papar suka duka peserta kurang upaya tempuhi cabaran dalam mengejar impian

SETELAH berjaya dengan beberapa program realiti yang berbeza daripada kebiasaan seperti Mencari Menantu dan Akademi Al-Quran, stesen televisyen TV9 sekali lagi menampilkan sebuah rancangan yang jauh lari daripada persoalan populariti dan glamour, Realiti OKU, yang mula disiarkan pada 20 September lalu.

Selama 13 episod, penonton mengikuti suka duka 10 OKU terpilih dalam usaha merealisasikan impian mereka. Daripada peserta yang mengalami kecacatan fizikal, pertuturan, penglihatan hinggalah kepada pendengaran, krew produksi rancangan ini dan TV9 sendiri cuba menonjolkan sesuatu yang belum pernah ditonton.

Peserta yang berjaya menempatkan diri dalam Realiti OKU edisi pertama ini adalah Sonny Marcello a/k Teddy Dipin, Baidawati Piting, Mohd Aidil Riduan Awang Kader, Rohana Abdullah, Shukor Mustafa, Zarina Hosnin, Siti Aishah Yaacob, Mohd Ariff Abdullah, Tan Chin Chin dan Jauahir Ahmad.

Kini, rancangan berkenan sedang menghampiri kemuncak apabila seorang peserta terbaik akan pulang dengan wang tunai RM10,000, pada 3 Disember ini. Rakaman rancangan peringkat akhir selama dua jam itu akan disiarkan pada 13 Disember, jam 9.30 malam.

Penerbit Eksekutifnya, Nuraeshah Malik, berikutan visi setiap peserta amat berbeza, justeru mereka memberikan tanggungjawab pemilihan peserta terbaik kepada mentor peserta itu sendiri.

Faktor ketabahan, kekuatan mental dan keyakinan diri antara kriteria utama yang diperhatikan setiap mentor dalam memilih peserta yang layak pulang dengan hadiah berkenaan.

"Mentor ini jugalah yang memberikan laporan kepada kami, bagi setiap peserta yang mereka pantau. Jika ada peserta yang hampir berputus asa, mentor jugalah yang menjadi pemberi semangat untuk peserta itu meneruskan perjuangan dalam program berkenaan," cerita Nuraeshah yang juga Pengurus bahagian Ciptaan Kandungan Program Majalah TV9.

Selama kira-kira dua bulan, setiap peserta dikehendaki berusaha membuktikan impian atau visi mereka mampu digapai. Setiap peserta juga akan melakukannya sendiri, tanpa mengharap bantuan orang lain. Cuma, pihak TV9 menyediakan modal atau wang saku sebanyak RM1,000 bagi membolehkan peserta mengatur langkah permulaan masing-masing.

Menurut wartawan penyiaran yang mengikuti setiap detik perjalanan peserta rancangan berkenaan, Mohd Amirul Haswendy Ashari, tugas mereka hanyalah memaparkan realiti kesungguhan, kesukaran serta realiti yang berlaku sepanjang kira-kira dua bulan waktu rakaman dijalankan.

"Apa yang penonton saksikan di kaca TV, itulah kenyataannya. Contohnya, kami paparkan peserta Mohd Aidil Riduan yang cuba mendapatkan kerja di pasar raya. Dia ada kelayakan. Lalu, dia menghadiri temu duga bersama syarikat berkenaan. Keputusan sama ada dia mendapat kerja itu atau sebaliknya, terletak pada pihak pengurusan syarikat terbabit.

"Kami tidak ada kena mengena dengan keputusan yang dibuat. Tugas kami hanyalah memaparkan usaha sendiri peserta kurang upaya ini," kata Amirul.

Mengenai cabaran yang harus dilalui krew bertugas pula, seorang lagi wartawan penyiaran, Mohd Ashrudy Borhan, mengaku tugas mereka bukanlah ringan.

"Kebanyakan OKU bagai sudah lama dan biasa tersisih daripada masyarakat normal. Justeru, mereka menjadi lebih sensitif. Mereka bukan saja sensitif dengan orang yang cukup sifat, malah sesama mereka sendiri.

"Pada ketika yang sama, ada kalangan peserta yang terlebih yakin dengan keupayaan mereka. Lalu, kami berikan peluang untuk mereka membuktikan kebolehan. Di situlah kita akan mengetahui tahap sebenar dan kemampuan mereka.

"Antara cabarannya juga, setiap peserta atau OKU perlu dilayan dengan cara yang berbeza. Saya sendiri lama-kelamaan mula memahami bagaimana untuk berinteraksi dengan golongan ini. Memimpin orang buta juga ada caranya. Sedikit pergerakan bahu kita berubah, ada maknanya." katanya.

Begitu juga Ashrudy dan rakan produksi perlu mengikut waktu golongan berkenaan apabila ingin membuat sesuatu rakaman. Paling mencabar, tentunya bagaimana mereka harus memberikan paparan yang boleh difahami, bukan setakat penonton biasa, malah golongan kurang berupaya.

Kerana itu, rancangan akhir nanti, kemungkinan besar seorang pakar bahasa isyarat akan ditampilkan bagi memudahkan penonton OKU mengikuti setiap apa yang terjadi pada kemuncak acara nanti.

Kata Ashrudy, rancangan berkenaan mendapat sambutan baik di kalangan penonton OKU sendiri. Tidak mustahil, kerana Realiti OKU sebuah rancangan yang memberikan mereka perangsang untuk menggapai cita-cita. Belum ada program seumpamanya disiarkan di mana-mana saluran televisyen negara ini, sebelum ini.

Berbeza dengan rancangan yang memaparkan penderitaan sesetengah insan, Realiti OKU bukan program yang menagih simpati dan 'memaksa' penonton mengalirkan air mata dek kesukaran serta penderitaan dialami subjeknya.

"Pada ketika uji bakat diadakan, ada kalangan OKU yang datang dengan persepsi, rancangan ini juga tidak ubah program untuk meminta simpati. Kami terpaksalah menjelaskan hakikatnya. Kita bukan mahu memaparkan golongan OKU sebagai insan yang lemah, sebaliknya berusaha gigih dalam mencapai impian diri," kata Ashrudy.

INFO: Program menarik di TV9
  • REALITI OKU diterbitkan TV9 dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hadir selaku tetamu kehormat pada rakaman rancangan akhir.
  • RAKAMAN rancangan akhir dilakukan di Pusat Persidangan Putra Jaya (PICC), jam 3.30 petang, pada 3 Disember. Rakaman akan disiarkan pada 13 Disember nanti.
  • FINAL Realiti OKU akan diterbitkan oleh Shukri Ibrahim, penerbit rancangan akhir Akademi Al-Quran.

No comments: